Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Terengganu kini dalam proses perjalanan transformasi yang hebat dengan beberapa pencapaian membanggakan termasuk dalam bidang pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan itu berlaku kerana rakyat ternyata sedar tiada kerajaan selain Barisan Nasional (BN) yang dapat merencanakan apa yang terbaik bagi mereka.
''Bagi membolehkannya berterusan, rakyat harus terus memberi sokongan kepada kepimpinan negeri dan Pusat," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri Parlimen Dungun di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan.
Menurut Muhyiddin, beliau ingin melihat negeri ini terus dipacu kejayaannya dalam pelbagai bidang dan bergerak bersama negara bagi mendepani cabaran menjelang 2020.
Beliau menarik perhatian, majlis-majlis jamuan Aidilfitri yang diadakan oleh para pemimpin terus bertambah meriah dan ia turut memperlihatkan keceriaan rakyat di bawah pemerintahan kerajaan yang ada.
Menyentuh beberapa permohonan pemimpin negeri bagi Parlimen Dungun, beliau berkata, projek pembinaan hospital baru Dungun dan penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan diberi perhatian.
''Saya ambil perhatian apa yang disebutkan dan perkara ini telah direncanakan begitu lama, tapaknya juga sudah ada. Saya akan bentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.