Isnin, 24 Februari 2014

BR1M bukan rasuah

Februari 2014
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
PAGOH – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan rasuah daripada kerajaan sebaliknya pemberian wang tersebut bertujuan memantapkan ekonomi sekaligus mengukuhkan pendapatan rakyat melalui langkah-langkah fiskal dan rasionalisasi subsidi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian BR1M merupakan bukti keikhlasan kerajaan BN membantu rakyat dan masuk kali ketiga disalurkan kepada golongan sasar.

“Mereka (penerima BR1M) hargai (bantuan ini) dan tidak rasa ini tidak baik. Mereka ucap terima kasih dan hargainya (kerana) dapat kurangkan beban. Bantuan ini sudah ada impak. Saya tidak fikir mereka akan termakan (dakwaan) pembangkang.

“Pihak pembangkang bimbang dengan pemberian BR1M kerana langkah ini dilihat dapat mengurangkan pengaruh mereka kerana usaha kita membantu rakyat,” katanya mengulas dakwaan pembangkang menyifatkan BR1M adalah satu bentuk rasuah kerajaan kepada rakyat selepas selepas merasmikan Majlis Penyerahan bantuan terbabit Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, semalam.

Beliau menyelar pembangkang kerana mendakwa BR1M membawa pembaziran kerana bantuan itu merupakan hasil penjimatan subsidi sebelum disalurkan terus kepada rakyat berpendapatan rendah.

“Dengan adanya kekuatan ekonomi, baharulah kerajaan dapat membantu rakyat. Kita ada rekod urus ekonomi negara yang begitu cemerlang. Ekonomi negara tidak kucar kacir, pendapatan negara meningkat. Hasil dalam negara juga bertambah,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, BR1M akan diteruskan selagi kerajaan BN menerajui negara dan jumlah bantuan akan dinaikkan secara berperingkat sehingga RM1,200.

Anggota tentera dilapor hilang

Februari 2014
 
Anggota tentera dilapor hilang
  • Pasukan penyelamat memberi taklimat kepada Mohd Iskandar di salah satu kawasan pencarian.Anggota tentera dilapor hilang
  • Keluarga mangsa menunggu dengan penuh sabar di tempat kejadian semalam.
BESUT- Seorang anggota tentera berpangkat koperal dipercayai hilang ketika menjalani latihan Eksesais Pasak Bumi di kawasan perkelahan Hutan Lipur Lata Belatan dekat Jabi, di sini, sejak pagi kelmarin.

Anggota terbabit, Nik Azizi Mohd Nor, 30, dari pasukan 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu disedari hilang ketika raptai perbarisan jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebelum itu mangsa bersama rakan sepasukan berkhemah di kawasan terbabit untuk pembukaan latihan yang bermula kelmarin.

Menurutnya, sebelum hilang, mangsa telah dilihat oleh rakan setugasnya berjalan dengan berpakaian seluar celoreng untuk mandi di kawasan perkelahan tersebut, kira-kira jam 5.30 pagi.
“Mangsa hanya berselipar dan meninggalkan peralatan termasuk pakaian lain berhampiran buaian tempat tidurnya.

“Kehilangannya disedari apabila Nik Azizi tidak melaporkan diri ketika raptai perbarisan pembukaan latihan di kawasan berkenaan,” katanya

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat di kaki Gunung Tebu itu, pagi semalam.

Turut meninjau operasi mencari, Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Hamzah.


Gerakan mencari dilancar

Kamaruddin berkata, sebelum membuat laporan di Balai Polis Jertih jam 1 pagi semalam, pihak tentera telah menjalankan usaha mencari dan menyelamat, namun gagal.

“Gerakan mencari semalam membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, 200 anggota tentera dan penduduk kampung selain Unit Anjing Pengesan Polis (K9) Ibu Pejabat Polis Kelantan dan Anjing Pengesan Tentera Darat,” katanya.

Menurutnya, gerakan mencari dilakukan di kawasan sungai dan persekitaran hutan termasuk sehingga ke puncak Gunung Tebu.

"Pada masa sama pihak polis dan tentera sedang menjalankan siasatan dan usaha mengesan kehilangan mangsa," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati setakat ini kehilangan mangsa tidak membabitkan unsur jenayah, bagaimana siasatan lanjut akan dijalankan.

Kamaruddin berkata, mangsa yang masih bujang berasal dari Rumah Murah Jaya, Semerak Pasir Putih, Kelantan turut didapati tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kemurungan ketika menjalani latihan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...