Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
PAGOH – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan rasuah daripada kerajaan sebaliknya pemberian wang tersebut bertujuan memantapkan ekonomi sekaligus mengukuhkan pendapatan rakyat melalui langkah-langkah fiskal dan rasionalisasi subsidi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian BR1M merupakan bukti keikhlasan kerajaan BN membantu rakyat dan masuk kali ketiga disalurkan kepada golongan sasar.

“Mereka (penerima BR1M) hargai (bantuan ini) dan tidak rasa ini tidak baik. Mereka ucap terima kasih dan hargainya (kerana) dapat kurangkan beban. Bantuan ini sudah ada impak. Saya tidak fikir mereka akan termakan (dakwaan) pembangkang.

“Pihak pembangkang bimbang dengan pemberian BR1M kerana langkah ini dilihat dapat mengurangkan pengaruh mereka kerana usaha kita membantu rakyat,” katanya mengulas dakwaan pembangkang menyifatkan BR1M adalah satu bentuk rasuah kerajaan kepada rakyat selepas selepas merasmikan Majlis Penyerahan bantuan terbabit Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, semalam.

Beliau menyelar pembangkang kerana mendakwa BR1M membawa pembaziran kerana bantuan itu merupakan hasil penjimatan subsidi sebelum disalurkan terus kepada rakyat berpendapatan rendah.

“Dengan adanya kekuatan ekonomi, baharulah kerajaan dapat membantu rakyat. Kita ada rekod urus ekonomi negara yang begitu cemerlang. Ekonomi negara tidak kucar kacir, pendapatan negara meningkat. Hasil dalam negara juga bertambah,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, BR1M akan diteruskan selagi kerajaan BN menerajui negara dan jumlah bantuan akan dinaikkan secara berperingkat sehingga RM1,200.