Selasa, 29 November 2011

Orang Melayu boleh menilai antara retorik, realiti – Perkasa


UMNO perlu memberi lebih tumpuan mengenai hak kepentingan orang Melayu dan Islam semasa perhimpunan parti yang akan berlangsung mulai esok selaras dengan dasar awal penubuhannya yang menjurus kepada kedua-dua agenda tersebut.

Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata, ia bagi mengekalkan relevan UMNO sebagai tunggak untuk memacu keyakinan orang Melayu ketika pertembungan arus politik yang tidak menentu sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan ahli politik.

“Bagi golongan cerdik pandai, mereka ingin melihat UMNO benar-benar memperjuangkan agenda Melayu, bukan retorik. Jika UMNO mahu kekal relevan sepanjang masa selain mendapat keyakinan orang Melayu, maka sudah tentu mereka perlu terus memperkasakan agenda tersebut dalam perjuangannya.

“Rakyat hari ini khususnya orang Melayu sudah pandai menilai antara retorik dan realiti,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah 1433 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong di sini, hari ini.

Tiga acara serentak dirangkum pada majlis tersebut iaitu menghayati sejarah perjuangan Rasulullah SAW melalui peristiwa Maal Hijrah, majlis khatan beramai-ramai melibatkan 100 kanak-kanak dari sekitar kampung berdekatan dan membuat bubur asyura yang disertai penduduk tempatan.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa, masih terdapat golongan yang berpendapat kononnya senario hari ini membayangkan UMNO kurang memberi fokus kepada agenda Melayu meskipun banyak penekanan berhubung perkara berkaitan telah dimanifestasikan kepimpinan parti itu.

“Saya bercakap berdasarkan rungutan orang ramai iaitu tanggapan ini timbul berikutan tafsiran mereka mengenai pelaksanaan sesuatu perkara bergantung kepada meritokrasi, contohnya pemberian biasiswa, selain meliberalisasikan sektor-sektor tertentu dengan 30 peratus penyertaan bumiputera dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata, persepsi ini wajar diperbetulkan sebelum keadaan menjadi lebih parah yang akhirnya tidak mustahil akan memberi impak negatif kepada parti itu sendiri, khususnya rakyat dan negara.
Tegasnya, UMNO mesti teguh dengan dasarnya dan segala persepsi atau sebarang kekeliruan yang timbul sekarang ini mesti diperbetulkan melalui Perhimpunan Agung UMNO demi bangsa, agama dan negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...