Ahad, 14 Ogos 2011

DAP, Karpal ceroboh kes liwat Anwar - Ibrahim Ali




Perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan ternyata telah dicerobohi oleh DAP melalui Pengerusi parti tersebut, Karpal Singh.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Karpal selaku peguam bela kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seharusnya bertindak sebagai peguam yang beretika dan berintegriti.
"Tetapi beliau (Karpal) menyalahgunakan peranannya sebagai peguam bela apabila bertindak melambat-lambatkan perbicaraan kes liwat tersebut sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
"Tindakan itu demi kepentingan politik DAP. Jadi, di mana letaknya keadilan sistem kehakiman di negara ini jika sesuatu parti politik boleh mencerobohi perbicaraan mahkamah?" katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, kini, perbicaraan kes liwat Anwar telah berjalan selama tiga tahun dan selaku peguam bela, ternyata Karpal telah berjaya menunda perbicaraan kes tersebut berpuluh-puluh kali.
"Jadi, di mana hak asasi Mohd. Saiful sebagai mangsa liwat dan mangsa agenda politik DAP? Beliau seharusnya mendapat hak untuk diadili dalam tempoh munasabah bukannya perlu menunggu sekian lama," katanya.
Ibrahim sehubungan itu mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya campur tangan dan menghentikan pencerobohan perbicaraan kes liwat Anwar ke atas Mohd. Saiful itu oleh Karpal dan DAP.
"Suhakam perlu meneliti segala hal dan keadaan dalam perkara-perkara yang mempunyai implikasi penangguhan bagi perbicaraan kes liwat tersebut," katanya.
Beliau dalam pada itu menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya membantah pencerobohan DAP terhadap kedaulatan dan sistem kehakiman negara.

psssttt : Petikan dari ulasan Tok Yem kat Facebook
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...