Pada setiap malam Ramadhan ke-27 amat signifikan dengan malam Lailatul Qadar yang merupakan ‘bonus’ kepada Umat Rasulullah Muhammad S.A.W. Kelebihan malam ini di sebut dalam al-Quran Al-Qadr melebihi bulan-bulan lain seribu kali ganda.
Terjemahan surah Al-Qadr:
1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).
Hadis Riwayat Al-Bukhari juga meriwayatkan malam ke-27 merupakan salah satu daripada malam-malam yang mungkin merupakan malam tersebut:
Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))
Bagi masyarakat Melayu, malam ke-27 merupakan malam yang agak istimewa dan menggelarkan malam ini sebagai Malam Tujuh Likur. Lazimnya pada malam yang istimewa ini masyarakat kampung Melayu akan menghiaskan halaman rumah mereka dengan panjut atau pelita. Sesetengah tempat pula akan mengadakan kenduri atau jamuan kecil-kecilan bagi meraikan malam tersebut. Amalan ini merupakan satu adat sahaja dan tidak ada hadis atau perintah syariat yang menyuruh kepada sambutan malam ini.
Tidak dapat Ambo pastikan secara tepat mengenai bilakah amalan ini dimulakan oleh orang-orang Melayu. Tetapi terdapat catatan yang menyatakan bahawa amalan memasang panjut atau pelita merupakan salah satu tanda untuk memberikan panduan kepada tetamu-tetamu yang dijemput menghadiri jamuan kecil sempena malam tujuh likur. Ini kerana pada zaman dulu jalan-jalan kampung masih tidak ada lampu jalan dan elektrik. Hanya panjut-panjut ini menjadi penanda bagi lokasi rumah yang mengadakan jamuan tersebut. Secara logiknya adalah sedemikian..
Amalan ini rasanya masih segar bagi orang-orang Melayu di kawasan desa atau pinggir bandar sehingga hari ini.. namun Amba tak tahu apakah maksud sambutan malam tujuh likur ini masih lagi difahami oleh generasi muda atau sekadar satu lagi amalan yang tidak difahami…